Wednesday, April 14, 2010

PERATURAN FUTSAL

PERATURAN PERTANDINGAN FUTSAL


1.0 PERATURAN AM

Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan akan mengambil segala tindakan dan membuat semua keputusan perlu bagi menentukan pertandingan dijalankan dengan sempurna tertakluk kepada peraturan ini.

2.0 UNDANG-UNDANG PERMAINAN

2.1 Peraturan pertandingan ini hendaklah dibaca bersekali dengan Peraturan AM Pesta Sukan Kebangsaan RISDA Kali Ke XV Tahun 2008

2.2 Kecuali apa yang disebut di dalam peraturan am dan syarat-syarat pertandingan yang menguasai permainan-permainan tersebut, maka undang-undang yang berkuatkuasa sebagaimana yang diputuskan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa ( FIFA ).

2.3 Jumlah penggantian yang dilakukan semasa permainan adalah tidak terhad. Seseorang pemain yang telah digantikan boleh masuk semula ke gelanggang sebagai pengganti pemain itu. Seseorang penjaga gol boleh bertukar tempat dengan mana-mana pemain.

2.4 Ketua pasukan hendaklah memakai lilitan lengan yang nyata di lengan kiri jersinya. Sekiranya ketua pasukan digantikan, maka lilitan lengan tersebut diberi pula kepada pemain yang mengambialih sebagai ketua pasukan.

2.5 Kejadian diluar dugaan dan tidak dinyatakan dalam peraturan ini akan diputuskan seperti berikut :-

2.5.1 Semua kejadian am akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan dengan kerjasama Pengadil Perlawanan.

2.5.2 Sebarang persoalan teknikal akan diputuskan berasaskan kepada Undang-undang Persatuan Bola Sepak Antarabangsa ( FIFA ).

2.5.3 Sebarang keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan adalah muktamad.


3.0 PENDAFTARAN DAN KELAYAKAN PEMAIN

3.1 Penyertaan pemain adalah tertakluk kepada senarai pendaftaran pemain yang telah diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan.

3.2 Pemain-pemain yang digantung oleh mana-mana Badan Kebangsaan dan Negeri serta gabungannya tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

3.3 Setiap pasukan hendaklah mengemukakan nama lima ( 5 ) pemain dan tiga ( 3 ) pemain simpanan ( terbuka ) di dalam borang yang disediakan kepada pengadil perlawanan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum perlawanan bermula.


4.0 PAKAIAN/ALATAN

4.1 Setiap pasukan mestilah mempunyai jersi mengikut warna zon masing-masing ( nombor 1 hingga 15 )

4.2 Setiap pemain dimestikan memakai “ Shin Guard “

4.3 Pemain dibenarkan memakai “ Track Bottom “.

4.4 Sekiranya kedua-dua pasukan yang akan bermain memakai jersi yang sama warnanya, pasukan yang tidak memakai warna zon dikehendaki menukar jersinya.


5.0 MASA PERLAWANAN

5.1 Masa perlawanan ialah 10 minit bagi separuh masa pertama dan 10 minit bagi separuh masa kedua. Rehat pada separuh masa hendaklah tidak melebihi 5 minit kecuali dengan izin pengadil perlawanan.

5.2 Satu masa tidak melebihi 15 minit akan diberikan kepada pasukan yang lewat daripada masa yang ditetapkan. Selepas daripada masa ini pasukan lawan mempunyai pemain minimum dikira mendapat kemenangan percuma, tertakluk kepada para 7.0.


6.0 PENENTUAN KEMENANGAN

6.1 Pasukan yang dapat menjaringkan gol terbanyak di dalam satu-satu perlawanan akan dikira sebagai pemenang.

6.2 Pusingan Awal :-

6.2.1 Jika perlawanan berkeputusan seri selepas tamat tempoh masa sebenar ( 20 minit ), pemain tidak boleh meninggalkan padang kecuali dengan kebenaran pengadil.

6.2.2 Bagi menentukan pemenang dan perlawanan seterusnya, tiga ( 3 ) tendangan penalti akan diambil secara berselang.

6.2.3 Jika selepas tiga ( 3 ) tendangan penalti diambil kedudukan masih seri, maka tendangan penalti akan diambil lagi secara “ Sudden Death “ hingga tercapai keputusan muktamad.

6.3 Pusingan Akhir :-

6.3.1 Jika perlawanan berkeputusan seri selepas tamat tempoh masa sebenar ( 20 minit ), masa tambahan akan diberikan mengandungi dua bahagian iaitu lima ( 5 ) minit bagi setiap bahagian tanpa rehat. Pemain tidak boleh meninggalkan padang pada waktu rehat dalam masa tambahan kecuali dengan kebenaran Pengadil. Pemainan adalah secara “ Sudden Death ‘ pada masa tambahan tersebut dijalankan.

6.3.2 Jika keputusan masih seri, maka tiga ( 3 ) tendangan penalti akan diambil secara berselang.

6.3.3 Jika selepas tiga ( 3 ) tendangan penalti diambil, kedudukan masih lagi seri, maka tendangan penalti akan diambil lagi secara “ Sudden Death ‘ hingga tercapai keputusan muktamad.

6.4 Semua keputusan Pengadil adalah muktamad.


7.0 BILANGAN PEMAIN YANG MENCUKUPI

7.1 Sekurang-kurangnya mestilah ada empat ( 4 ) orang pemain bagi sesuatu pasukan berada di padang sebelum perlawanan dimulakan. Jika kurang daripada itu, pasukan tersebut dikira memberi kemenangan percuma kepada pasukan lawan dengan jaringan gol dua ( 2 ) kosong.


7.2 Jika kedua-dua pasukan tidak dapat menurunkan empat ( 4 ) orang pemain atau lebih apabila pengadil memerintahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang ditetapkan, maka pengadil hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan yang akan mengambil tindakan yang difikirkan perlu.


8.0 PERLAWANAN YANG DTUNDA ATAU DIHENTIKAN

8.1 Sekiranya Pengadil perlawanan berpendapat bahawa padang tidak sesuai untuk permainan disebabkan oleh keadaan cuaca atau kerana hal-hal yang tidak dijangkakan, perlawanan itu tidak dapat dimainkan atau sekiranya sesuatu perlawanan dihentikan akibat hal-hal diluar kawalan kedua-dua pasukan, maka Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan dengan nasihat Pengadil, pemenang bagi perlawanan ini akan berdasarkan paraturan yang telah ditetapkan dalam Peraturan Am.

9.0 PENGADIL DAN PENJAGA GARISAN

9.1 Keseluruhan kejohanan ini akan diadili oleh Pengadil-Pengadil dan Penjaga Garisan Bertauliah yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan.


10.0 HAL-HAL YANG TIDAK DIPERUNTUKKAN

10.1 Segala hal yang tidak diperuntukkan dibawah peraturan-peraturan ini atau soal perbezaan taksiran hendaklah diambil tindakan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan yang keputusannya adalah muktamad.

No comments:

Post a Comment