Wednesday, April 14, 2010

PERATURAN BATU SEREMBAN DAN CONGKAK

PERATURAN PERTANDINGAN BATU SEREMBAN


1.0 PERATURAN-PERATURAN

1.1 Peraturan pertandingan ini hendaklah dibaca bersekali dengan Peraturan AM Pesta Sukan Kebangsaan RISDA Ke XV Tahun 2008.

1.2 Setiap pasukan terdiri dari lima ( 5 ) pemain dan dua ( 2 ) pemain simpanan.

1.3 Pertandingan ini bertujuan memungut mata terbanyak.

1.4 Peralatan iaitu lima ( 5 ) uncang ( 3 cm persegi ) akan disediakan oleh penganjur pertandingan.

1.5 Pertandingan akan dijalankan ditempat yang rata.

1.6 Pertandingan ini terdiri dari tiga ( 3 ) pusingan bagi peringkat awal dan lima ( 5 ) pusingan bagi perlawanan akhir.

2.0 PERATURAN PERMAINAN

2.1 Pada masa mengambil buah-buah itu, pemain tidak boleh menyentuh mana-mana buah yang berhampiran.

2.2 Pemain hendaklah menyambut buah yang dilambung sebelum buah yang dilambung itu jatuh ke lantai.

2.3 Tiap kali satu-satu peringkat, semua buah dikumpulkan dan diserakkan untuk ke peringkat lain.

2.4 Pemain lain akan mengambil gilirannya bermain apabila sesuatu kesilapan/kesalahan telah dilakukan ( setiap pemain akan bermula dengan buah satu ).

2.5 Dalam pusingan lepas itu, seorang pemain menyambung permainannya di peringkat ia telah melakukan kesilapan.

3.0 CARA BERMAIN

3.1 Buah Satu

Serakkan buah dilantai, ambil satu dan lambung. Sebelum buah yang dilambung jatuh, pungut satu buah dan terus sambut buah yang dilambung tadi dengan tangan yang sama. Letakkan ke tangan kiri. Ulang semula sehingga buah dilantai habis. Dan dengan sekali lambung masukkan buah dikumpul dikiri dan tangan kanan.

3.2 Buah Dua

Sama seperti buah satu, Cuma pungut dua setiap lambungan.

3.3 Buah Tiga

Sama juga seperti buah satu dan dua, bezanya sekali lambung pungut satu dan lambungan kedua pungut tiga.

3.4 Buah Empat

Sama, pungut ke empat-empat buah dengan sekali lambung.

3.5 Buah Lima

Serakkan seperti biasa, ambil 3 buah di tangan kanan dan 2 buah di tangan kanan sambil meletakkan ke lantai buah-buah yang ada di kedua-dua tangan dan segera sambut buah yang dilambung.

3.6 Buah Sentuh

Seperti buah satu, Cuma sentuh sahaja setiap buah dilantai. Dengan sekali pungut kesemua buah.

3.7 Buah Pungut

Sama, Cuma setiap kali lambung, pungut satu buah dan masukkan ke tangan kiri hingga habis dan sekali lambung kumpulkan ke tangan kanan semula.

3.8 Buah Tukar

Serakkan buah, ambil satu dan lambung, pungut satu buah. Sekali lagi lambung sambil menukar buah ditangan dengan satu buah di lantai. Ulang hingga kesemua buah-buah ditukar. Akhir sekali, sambil lambung letakkan buah di tangan ke lantai dan sekali lambung pungut kesemua buah.

3.9 Buah Lambung

Sama seperti buah tukar, bezanya kedua-dua biji buah dilambung dan cepat-cepat tangan kiri menyambut satu buah dan tangan kanan pungut satu buah di lantai terus sambut buah yang di lambung. Ulang hingga habis buah di lantai. Sekali lambung kumpulkan ke tangan kanan.

3.10 Buah Timbang

Untuk menentukan mata, points, timbangkan buah ke belakang tapak tangan sekiranya dapat lima, disambut semula ke tapak tangan dengan angka lima juga dan mata dikira lima.

3.11 Sebarang peraturan yang tidak dicatatkan dalam peraturan ini akan ditentukan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal dan Peraturan.


3.12 Keputusan Jawtankuasa Teknikal dan Pertandingan adalah muktamad.

PESTA SUKAN KEBANGSAAN RISDA
KALI KE XV TAHUN 2008

PERATURAN PERTANDINGAN CONGKAK


1.0 PERATURAN-PERATURAN

1.1 Peraturan pertandingan ini hendaklah dibaca bersekali dengan Peraturan AM Pesta Sukan Kebangsaan RISDA Ke XV Tahun 2008.

1.2 Mempunyai Lima ( 5 ) orang pemain dan Dua ( 2 ) orang pemain simpanan.

1.3 Setiap Papan Congkak mengandungi sekampung tujuh ( 7 ) rumah anak serta satu ( 1 ) rumah ibu dimana setiap rumah anak diisi cakak.

1.4 Papan Congkak serta Cakak akan disediakan oleh penganjur pertandingan.


2.0 PERATURAN DAN CARA

2.1 Dua ( 2 ) orang peserta berhadapan.

2.2 Permainan dilaksanakan dalam dua ( 2 ) papan. Kedua-dua peserta jalan/menapak serampak untuk papan pertama dan kedua.

2.3 Setelah diberi aba-aba :-

2.3.1 Mula permainan dengan mengambil semua cakak dari mana-mana rumah anak di kampong sendiri, kemudian

2.3.2 Menapak dari kanan ke kiri, lalu

2.3.3 Masukkan cakak satu demi satu butir kedalam tiap rumah dengan,

2.3.4 Mengelilingi kampong rumah papan congkak, dalam

2.3.5 Keadaan tangan genggam terngadah, ikut

2.3.6 Giliran jalan/menapak

2.4 Melangkah/melangkau/memintas adalah ditegah, apabila tiba dirumah ibu sendiri hendaklah dimasukkan juga satu ( 1 ) butir cakak tetapi tidak di ibu rumah lawan. Cakak yang masuk ke rumah ibu lawan adalah menjadi kepunyaan lawan.

2.5 Cakak terakhir masuk ke rumah isi mestilah dilepaskan genggaman dulu sebelum mengambil cakak kembali menapak.

2.6 Peserta mati giliran/menapak ialah jika cakak akhir masuk kemana-mana rumah kosong. Peserta lawan akan mendapat giliran jalan.

2.7 Jika naik rumah maka peserta hidup dan boleh meneruskan jalan semula.

2.8 Hanya boleh ditikam setelah melalui kampong lawan. Tikam layer adalah ditegah.

2.9 Setiap sentuhan cakak mesti mulakan jalan. Undan diberikan hanya lima ( 5 ) saat.

2.10 Permainan papan kedua dan seterusnya dimulakan dengan tiada rumah yang terbakar.

3.0 LARANGAN DAN DENDAAN

3.1 Satu Kesalahan :

3.1.1 Mendepani aba-aba menapak jalan serampak ;

3.1.2 Bermain dengan genggaman terlungkup;

3.1.3 Tidak memasukkan cakak ke rumah ibu atau rumah cakak;

3.1.4 Sentuhan cakak yang tidak berjalan/menapak;

3.1.5 Dikira berfikir lebih lima ( 5 ) saat;

3.1.6 Cakak akhir digenggam tidak dilepaskan sebelum mengambil bawa cakak yang baru;

3.1.7 Memasukkan cakak dimana-mana rumah anak dan ibu lebih dari satu ( 1 ) butir.

3.2 Buang Gelanggang :

3.2.1 Mana-mana pemain yang dikira tiga ( 3 ) kali berbuat bukan sopan;

3.2.2 Mana-mana pemain yang berbuat bukan dalam permainan.

4.0 PENILAIAN

4.1 Permainan mengikut pola “ Menang Tapak “.

4.2 “ Pemain Menang “ ialah yang menang dua ( 2 ) papan.

4.3 “ Pasukan yang menang “ ialah tiga ( 3 ) pemain yang menang.


5.0 PENENTUAN KEMENANGAN

5.1 Pola Menang - Menang Tapak

5.2 Penentuan Kemenangan - Menang 2 papan

5.3 Perkiraan :

5.3.1 Menang - Dua ( 2 ) mata

5.3.2 Mendapat jumlah mata tertinggi

5.3.3 Jika serI - Dikira set menang yang terbanyak

5.3.4 Jika seri set menang - Dikira set kalah yang sedikit
5.3.5 Jika masih seri - Ditambah satu ( 1 ) papan Permainan untuK menentuKan kemenangan.

No comments:

Post a Comment