Wednesday, April 14, 2010

PERATURAN BOLASEPAK

PERATURAN PERTANDINGAN BOLA SEPAK


1.0 AM

1.1 Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan akan mengambil segala tindakan dan membuat semua keputusan perlu bagi menentukan pertandingan dijalankan dengan sempurna tertakluk kepada peraturan ini.


2.0 UNDANG-UNDANG PERMAINAN

2.1 Peraturan pertandingan ini hendaklah dibaca bersekali dengan Peraturan Am Pesta Sukan Kebangsaan RISDA Ke XV Tahun 2008.

2.2 Kecuali apa yang disebut di dalam peraturan am dan syarat-syarat pertandingan yang menguasai permainan-permainan tersebut, maka undang-undang yang berkuatkuasa sebagaimana yang diputuskan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa ( FIFA ).

2.3 Pertandingan ini adalah terbuka sepertimana dinayatakan pada para 9.1 dan 9.2 Peraturan Am Pesta Sukan Kebangsaan RISDA Kali ke XV Tahun 2008.

2.4 Setiap pasukan hendaklah mengemukakan nama sebelas ( 11 ) pemain dan tujuh ( 7 ) pemain simpanan serta nombor jersi di dalam borang yang disediakan kepada pengadil perlawanan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum perlawanan bermula.

2.5 Setiap pemain hendaklah menggunakan nombor jersi yang sama sepanjang pertandingan dijalankan.

2.6 Pasukan yang melanggar peraturan-peraturan diatas boleh diambil tindakan termasuk memberi kemenangan kepada pasukan lawan.









2.7 Mana-mana lima orang pemain simpanan ( termasuk penjaga gol ) boleh mengganti mana-mana pemain dalam perlawanan termasuk masa tambahan. Mana-mana pemain yang kena ganti tidak boleh bermain semula dalam perlawanan tersebut termasuk tendangan penalti.

2.8 Ketua Pasukan hendaklah memakai lilitan lengan yang nyata di lengan kiri jersinya. Sekiranya Ketua Pasukan digantikan, maka lilitan lengan tersebut diberi pula kepada pemain yang mengambilalih sebagai Ketua Pasukan.

2.9 Kejadian diluar dugaan dan tidak dinyatakan dalam peraturan akan diputuskan seperti berikut :-

2.9.1 Semua kejadian am akan diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan dengan kerjasama Pengadil perlawanan.

2.9.2 Sebarang persoalan teknikal akan diputuskan berasaskan kepada Undang-Undang Persatuan Bola Sepak Antarabangsa ( FIFA ).

2.9.3 Sebarang keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan adalah muktamad.


3.0 PENDAFTARAN DAN KELAYAKAN PEMAIN

3.1 Penyertaan pemain-pemain adalah tertakluk kepada senarai pendaftaran pemain yang telah diperakukan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan.


3.2 Pemain-pemain yang digantung oleh mana-mana Badang Kebangsaan dan Negeri serta gabungannya tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

4.0 PAKAIAN/ALATAN

4.1 Setiap pasukan mestilah mempunyai jersi mengikut warna zon masing-masing.

4.2 Setiap pemain dimestikan memakai ‘ Shin Guard ‘

4.3 Pemain dibenarkan memakai ‘ track bottom ‘




4.4 Sekiranya kedua-dua pasukan yang akan bermain memakai jersi yang sama warnanya, pasukan yang tidak memakai warna zon dikehendaki menukar jersinya.

5.0 MASA PERLAWANAN

5.1 Masa perlawanan adalah 35 minit bagi separuh masa pertama dan 35 minit bagi separuh masa kedua. Rehat pada separuh masa hendaklah tidak melebihi 15 minit kecuali dengan izin pengadil.

5.2 Satu masa tidak melebihi 15 minit akan diberikan kepada pasukan yang lewat daripada masa yang ditetapkan. Selepas daripada masa ini pasukan lawan mempunyai pemain minimum dikira mendapat kemenangan percuma, tertakluk kepada para 7.0.

6.0 PENENTUAN KEMENANGAN

6.1 Pasukan yang dapat menjaringkan gol terbanyak di dalam satu-satu perlawanan akan dikira sebagai pemenang.

6.2 Pusingan Awal

6.2.1 Jika perlawanan berkeputusan seri selepas tamat tempoh masa sebenar ( 70 minit ), pemain tidak boleh meninggalkan padang kecuali dengan kebenaran pengadil.

6.2.2 Bagi menentukan pemenang dan perlawanan seterusnya, lima ( 5 ) tendangan penalti akan diambil secara berselang.

6.2.3 Jika selepas lima ( 5 ) tendangan penalti diambil kedudukan masih seri, maka tendangan penalti akan diambil lagi secara ‘ Sudden Death ‘ hingga tercapai keputusan muktamad.

6.3 Perlawanan Akhir

6.3.1 Jika kepurtusan perlawanan seri selepas tamat tempoh masa sebenar ( 70 minit ), masa tambahan akan diberikan mengandungi dua bahagian iaitu 10 minit tiap-tiap bahagian tanpa rehat. Pemain tidak boleh meninggalkan padang pada waktu rehat dalam masa tambahan kecuali kebenaran pengadil. Permainan adalah secara ‘ Sudden Death ‘ pada masa tambahan tersebut dijalankan.

6.3.2 Jika keputusan masih seri, maka ( 5 ) tendangan penalti akan diambil secara berselang.





6.3.3 Jika selepas lima ( 5 ) tendangan penalti diambil kedudukan masih seri, maka tendangan penalti akan diambil lagi secara ‘ Sudden Death ‘ hingga tercapai keputusan muktamad.

6.4 Semua keputusan pengadil adalah muktamad.


7.0 BILANGAN PEMAIN YANG MENCUKUPI

7.1 Sekurang-kurangnya mestilah ada 9 orang pemain bagi sesuatu pasukan berada di padang sebelum dimulakan. Jika kurang daripada ini, pasukan tersebut dikira memberi kemenangan percuma kepada pasukan lawan dengan jaringan gol 2 kosong.

7.2 Jika kedua-dua pasukan tidak dapat menurunkan 9 orang pemain atau lebih apabila pengadil memerintahkan supaya perlawanan dimulakan pada waktu yang ditetapkan, maka pengadil hendaklah melaporkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan yang akan mengambil tindakan yang difikirkan perlu.


8.0 PERLAWANAN YANG DITUNDA ATAU DIHENTIKAN

8.1 Sekiranya Pengadil Perlawanan berpendapat bahawa padang tidak sesuai untuk permainan disebabkan oleh keadaaan cuaca atau kerana hal-hal yang tidak dijangkakan, perlawanan itu tidak dapat dimainkan atau sekiranya sesuatu perlawanan dihentikan akibat hal-hal di luar kawalan kedua-dua pasukan, maka Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan dengan nasihat Pengadil, pemenang berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dalam Peraturan Am.


9.0 PENGADIL DAN PENJAGA GARISAN

9.1 Keseluruhan kejohanan ini akan diadili oleh Pengadil-Pengadil dan Penjaga Garisan Bertauliah yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan.


10.0 HAL - HAL YANG TIDAK DIPERUNTUKKAN

10.1 Segala hal yang tidak diperuntukkan di bawah peraturan – peraturan ini atau soal perbezaan taksiran hendaklah diambil tindakan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan yang keputusannya adalah muktamad.

No comments:

Post a Comment